BBM3410-2021-MINGGU 1A

PENGENALAN DIRI

Nama        : SITI NAZIHAH BINTI SAMAT
No. Matrik  189228


Kiri: Ain, Kanan: Nazihah (saya)


Assalammu'alaikum dan selamat sejahtera.

Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, kata orang dulu-dulu "tak kenal maka tak cinta", nama saya ialah Siti Nazihah binti Samat. Saya ialah anak kelahiran Raub, Pahang Darul Makmur, akan tetapi, saya banyak menghabiskan zaman kanak-kanak di kampung saya, iaitu Alor Setar, Kedah bersama arwah nenek. Saya mempunyai 2 orang abang dan seorang kakak.

Kini, saya merupakan seorang pelajar Bacelor Kesusasteraan Bahasa dan Linguistik Melayu, tahun pertama. Tetapi, ramai yang tidak tahu, sebenarnya saya telah menjejakkan kaki saya ke Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak sesi 2016/2017 lagi. Program pertama saya ialah Bacelor Sains Major Matematik. 

Pada mulanya, kehidupan di UPM semuanya berjalan dengan lancar. Pada suatu pagi Subuh ketika saya di tahun kedua, saya pergi ke surau di dalam kampus untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah. Dalam perjalanan pulang ke rumah sewa, saya terlibat dengan kemalangan jalanraya dan dimasukkan ke dalam hospital. Alhamdulillah, tiada kecederaan yang parah, cuma sedikit kecederaan di kepala (12 jahitan di dahi) dan trauma pergigian. Mengejutkan, daripada keputusan X-Ray, doktor mendapati bahawa saya menghadapi Scoliosis, iaitu keadaan tulang belakang yang membengkok dan menyarankan untuk bertemu pakar ortopedik. Penyakit ini tidaklah berpunca daripada kemalangan tersebut tetapi dari sisi baik kejadian ini, saya mengetahui tentang penyakit ini.

Setelah itu, prestasi pembelajaran saya merosot dan saya mengambil keputusan untuk merehatkan diri selama 2 tahun. Selama 2 tahun itu, mak dan ayah membawa saya berjumpa dengan pakar ortopedik untuk menerima rawatan yang sesuai. Selepas tamat tempoh penangguhan pengajian, saya mengambil keputusan untuk menukar program setelah berbincang dengan penasihat akademik, Dr. Leong Wah June. Banyak cabaran yang saya hadapi dalam proses menukar program, terutamanya semasa pandemik Covid-19. Walau bagaimanapun, dengan berkat bantuan dan panduan daripada penasihat akademik baru saya, Prof. Madya Dr. Adi Yasran, saya dapat menamatkan semester yang lalu dengan cemerlang, Alhamdulillah!

Gambar saya dan mak
selepas tamat sesi temu janji pertama bersama pakar ortopedik
.